Mesyuarat Agung PIBG 2021

Hotel Pantai Puteri

Sambutan Hari Guru 2021

Medium Google Meet

Pusat Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus M17

Lawatan Timb. Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh KPM

Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Thursday, August 14, 2014

Banjir Lumpur Di SMK Bukit Rambai

Tarikh: 15 Ogos 2014 (9:58 am)

Hujan lebat yang turun sejak semalam telah mengakibatkan kawasan di sekitar Bukit Rambai mengalami banjir. Kebiasaannya banjir kilat yang berlaku tidak menyebabkan bilik darjah dimasuki air.

Namun begitu, banjir kali ini menyaksikan hampir semua bilik darjah, bengkel dan dewan mini di aras bawah dimasuki air dan dipenuhi dengan lumpur.  Hal ini dipercayai berlaku disebabkan banyak longkang di sekitar kawasan sekolah ini tersumbat dengan lumpur akibat aktiviti pembangunan kawasan perumahan berhampiran sekolah.

 Aktiviti pembinaan ini dipercayai menjadi punca longkang di sekitar sekolah dipenuhi dengan tanah dan lumpur



Para pekerja bertungkus lumus membersihkan seluruh kawasan kaki lima dan bilik-bilik darjah yang dicemari banjir lumpur.

Diharapkan pihak-pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya agar kejadian seperti ini tidak berulang kembali.


Tuesday, September 10, 2013

Pulangnya Cikgu Safran Ke Hadrat Allah S.W.T

Seluruh warga SMKBR turut merasa sedih atas kepulangan allahyarham yang dikasihi, Cikgu Safran bin Ismail ke hadrat Allah s.w.t. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.45 petang (10.9.2013) di Hospital Kem Terendak setelah hampir sebulan bertarung nyawa atas masalah kesihatan beliau. Allahyarham telah selamat disemadikan di Sungai Udang melaka pada pukul 11.30 pagi (11.9.2013)

Pihak admin mewakili seluruh guru dan staf SMKBR ingin merakamkan jutaan terima kasih atas kesudian para guru, pelajar, jiran dan sahabat handai mengunjungi arwah Cikgu Safran semasa hayatnya di Hospital Kem Terendak dan juga menziarahi jenazah Cikgu Safran di kediaman mertuanya di Sungai Udang (bersebelahan SK Sungai Udang).


Semoga Allah s.w.t menerima segala amal kebaikan dan kebajikan Allahyarham Cikgu Safran serta menempatkannya dalam kalangan hamba-hambaNya yang soleh. Sama-samalah kita membacakan doa untuknya.

اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه وأكرم نُزُله. ووسع مُدخله. واغسله بالماء والثلج والبرد ، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس ، وأبدله داراً خيراً من داره ، وأهلاً خيراً من أهله وزوجاً خيراً من زوجه وأدخله الجنة وأعذه من عذاب القبر ومن عذاب النار

Ya Allah, ampunilah dia, kasihilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah tempatnya, luaskanlah tempat masuknya, mandikanlah dia dengan air, salju dan embun. Sucikanlah dia dari segala kesalahan sebagaimana pakaian disucikan dari najis. Gantikan untuknya rumah yang lebih baik dari rumahnya, gantikan untuknya keluarga yang lebih baik dari keluarganya, gantikan untuknya isteri (pasangan) yang lebih baik dari pasangannya. Masukkanlah ke dalam surga dan lindungilah dia dari azab kubur dan azab neraka.
Amin ya rabbal alamin!
 

Sunday, May 12, 2013

Perkhidmatan myUSSD *158# Bagi Projek myGov Mobile

Surat siaran daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri melalui rujukan MAMPU.eKL.700-7/66 Jld.3 (20) bertarikh 28 Mac 2013 adalah berkenaan Pelaksanaan Penggunaan Perkhdimatan myUSSD *158# Bagi Projek myGov Mobile.

Surat siaran tersebut memaklumkan bahawa myUSSD *158# merupakan perkhidmatan interaktif berasaskan menu yang disediakan melalui telefon mudah alih. Pengguna telefon bagi tiga syarikat telekomunikasi utama di Malaysia iaitu Celcom, Maxis dan Digi boleh mengakses perkhidmatan ini dengan membuat panggilan ke *158#. Antara perkhidmatan agensi Kerajaan yang disediakan melalui myUSSD *158# adalah seperti berikut:


Caj perkhidmatan yang dikenakan kepada pengguna adalah sebanyak RM0.35 bagi satu sesi (caj untuk sesi 2 minit + 2 minit).

Untuk maklumat lanjut berkaitan perkhidmatan myUSSD *158# ini boleh diperolehi menerusi Portal Rasmi myGov Mobile di www.mymobile.gov.my

 

Wednesday, October 24, 2012

Selamat Hari Raya Aidil Adha


Bagi pihak sekolah, kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha. Hayati ibadah korban dengan penuh kesyukuran.

Pengertian Aidiladha

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Pengertian Korban

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidil Adha pada 10 Zulhijjah sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Erti Pengorbanan Melalui Ibadah Korban 


Walaupun belum diizinkan oleh Allah untuk ke Tanah Suci, Aidiladha masih dapat dihayati melalui tuntutan melaksanakan ibadah korban sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail A.S.  Ianya merupakan satu ibadah sunnah yang dituntut dalam Islam.

Harus diperhatikan bahawa antara hikmah dan nilai-nilai yang terkandung dalam ibadah korban ialah latihan dan pembentukan mentaliti umat Islam agar sentiasa bersedia mengorbankan sebahagian rezeki kurniaan Allah demi kepentingan orang lain.

Pengorbanan merupakan satu aspek yang luas dan saling berbeza mengikut konteks masing-masing. Sebagai contoh, dalam konteks sebagai seorang pelajar, mengorbankan sebahagian waktu dalam usia mudanya ke arah pembentukan jiwa dan akhlak yang baik merupakan satu aspek pengorbanan yang cukup bernilai. 


Dengan memiliki kekuatan jiwa yang mantap dan sahsiah yang cemerlang seawal usia muda, ianya dapat membantu kearah pembentukan masyarakat Muslim yang gemilang bagi generasi yang akan datang.

Ibadah Korban Membentuk Jiwa Muslim

Seterusnya pensyariatan untuk melakukan sembelihan ke atas haiwan merupakan satu simbolik kepada pembentukan jiwa seseorang. Sebagaimana haiwan itu tunduk dan disembelih, begitulah ibaratnya nafsu yang ada pada diri kita harus ditundukkan dan ditewaskan. 


Bagi golongan belia khususnya, dengan semangat darah pemuda yang lahir di dalam jiwanya, dan gelojak nafsu syahwat yang membuak-membuak, pasti ianya menuntut agar adanya kawalan untuk membendung diri dari menuruti kehendak syahwat tersebut. Ianya harus diseimbangkan dengan pengabdian kepada Ilahi dan tunjuk ajar yang berterusan dari golongan pendidik supaya semangat dan kehendak yang tinggi itu dapat disalurkan ke arah jalan yang diredhai Allah.

Marilah kita bersama meraikan Aidil Adha pada tahun ini dengan penuh penghayatan dan keinsafan, bukan sekadar sebagai suatu adat dan atau kebiasaan. Semoga kita mampu menyediakan seluruh jiwa raga kita untuk kebaikan ummah dan meruntun redha Ilahi, demi bekalan di hari kemudian.


 

Tuesday, October 9, 2012

Selamat Menduduki PMR

Hari ini bermulanya perjuangan bagi semua calon PMR di seluruh negara untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan mereka. Segala usaha telah dilakukan seperti membuat latihan, mengulangkaji mata pelajaran, mengikuti tuisyen, seminar dan motivasi hinggalah kepada majlis bacaan Yasin dan solat hajat.

Pendek kata segala ikhtiar telahpun dilakukan. Banyak masa, tenaga dan wang ringgit yang dikorbankan demi memastikan anak-anak pewaris generasi masa depan mampu merangkul kecemerlangan. Semua pihak telah memainkan peranan masing-masing bermula daripada ibu bapa, guru-guru, pihak sekolah, PIBG malah rakan taulan. Semua berganding bahu demi tujuan yang satu.

Kepada semua calon PMR khususnya di SMK Bukit Rambai, kami di Unit ICT SMKBR bersama seluruh warga SMK Bukit Rambai mendoakan kejayaan yang cemerlang untuk anda.

Pesanan kami, bacalah doa dan pastikan anda membaca setiap soalan dengan teliti serta jawablah dengan hati yang tenang dan dengan penuh yakin. Insyaallah, segala usaha anda selama ini dengan dibantu doa restu daripada ibu bapa dan para guru, kami yakin anda mampu mencapai kecemerlangan. Selamat berjuang! Kita Pasti Juara!

Tuesday, September 18, 2012

Perpindahan 3 Guru Ke SMK Paya Rumput

Warga SMK Bukit Rambai ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa dan sumbangan selama 10 tahun kepada guru-guru yang penuh dedikasi ini, iaitu Cikgu Rosli b. Baba, Cikgu Azizah bt. Ahmad dan Cikgu Aina Bisyarah bt. Shafie. Ketiga-tiga mereka adalah merupakan guru terawal yang menjadi perintis di SMK Bukit Rambai yang dibuka pada tahun 2002.



Kini, mereka telah berpindah ke SMK Paya Rumput dan juga menjadi guru perintis di sekolah baru tersebut. Walaupun warga SMK Bukit Rambai terasa berat hati dengan perpisahan ini, namun kami semua mendoakan agar cikgu semua sentiasa beroleh kejayaan di tempat baru. Tahniah juga kepada Cikgu Azizah Ahmad yang telah dilantik sebagai GKMP Sains dan Matematik di SMK Paya Rumput.

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan...

Syabas dan tahniah!

Sunday, August 19, 2012

Selamat Hari Raya... Maaf Zahir Batin

Seluruh warga SMK Bukit Rambai mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua muslimin dan muslimat. Marilah kita sama-sama meraikan kemenangan ini dalam suasana yang harmoni dan penuh kegembiraan. Kepada guru-guru dan murid-murid yang akan pulang beraya di kampung, didoakan semoga selamat sampai ke destinasi bertemu sanak saudara tercinta. Jangan lupa, sekolah akan bermula pada 27 Ogos 2012.



Wednesday, May 16, 2012

Selamat Hari Guru 2012

Guru (dari bahasa Sanskrit) ataupun dikenali juga sebagai pengajar, pendidik, Mudarris dan pengasuh merupakan tenaga pengajar dalam institusi pendidikan seperti sekolah atau tuisyen (kelas bimbingan). Dalam zaman moden ini guru juga merupakan istilah yang digunakan untuk seorang yang pakar dalam sesuatu bidang misalnya dalam pengurusan, guru merujuk kepada seorang yang pakar dan handal dalam bidang pengurusan. Di peringkat universiti, guru diberi gelaran tutor atau pensyarah. Lazimnya guru perlu mahir dalam sesuatu mata pelajaran serta diperkukuhkan pula dengan pengetahuan dalam bidang pedagogi atau sains prinsip pengajaran.

Hari Guru Antarabangsa ditetapkan oleh UNESCO pada 5 Oktober setiap tahun. Tetapi di Malaysia, Hari Guru disambut pada setiap 16 Mei sebagai penghargaan kepada para guru.


Jadi di kesempatan ini, Admin Blog SMKBR ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru di dunia ini tak kira dimana jua, kerana telah mebimbing kami, anak-anak kami dan generasi yang akan datang.

Kepada rakan-rakan guru, didiklah anak bangsa kita seperti mana guru kita pernah mendidik kita semasa sekolah dahulu.


2012 GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

2011  Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara 

2010    Guru Pembina Negara Bangsa

2009   Guru Pembina Negara Bangsa

2008   Guru Cemerlang Negara Terbilang

2007  Guru Penjana Modal Insan Gemilang

2006  Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan

2005  Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2004  Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2003  Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2002  Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2001  Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama

2000  Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan

1999  Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang

1998  Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama

1997  Guru Bestari Sekolah Bestari

1996  Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia

1995  Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan

1994  Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan

1993  Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan

1992  Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan

1991  Ke Arah Pendidikan Cemerlang

1990  Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera

1989  Guru Pembina Budaya Ilmu

1988  Guru Pengasas Budaya Membaca

1987  Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan

1986  Pendidikan Teras Nasionalisme

1985  Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan

1984  Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan

1983  Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan

1982  Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu

1981  Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat

1980  Pendidikan Teras Perpaduan Negara

1979  Murid Sejahtera Negara Jaya

1978  Guru Pembentuk Generasi Akan Datang

1977  Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan

1976  Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan

1975  Guru dan Pembangunan Negara

1974  Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi

1973  Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan

1972  Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara
Selamat Hari Guru!

Friday, May 4, 2012

9 Tips Menghadapi Peperiksaan

Sudahkah anda bersedia menghadapi peperiksaan? Bagaimana cara terbaik dan ciri hebat menghadapi peperiksaan? Mungkin ada yang tertanya-tanya, tetapi sebenarnya ada banyak cara untuk menghadapi peperiksaan, namun demikian saya ada sertakan 9 tips untuk sedikit sebanyak membantu dalam persediaan terutama seminggu sebelum menghadapi peperiksaan.

Ulangkaji Pantas 

Bila seminggu nak peperiksaan pastinya masa semakin suntuk. Maka sangat penting untuk kita membuat ulangkaji lebih pantas tetapi member kesan. Membuat ulangkaji pantas ini boleh dilakukan dengan membuat nota ringkas, nota poket, nota formula berkait, mencari keutamaan subjek serta membaca soalan lepas beserta membaca skema jawapan. Hal ini penting kerana dengan membaca skema jawapan secara tidak langsung menggalakkan penerokaan ilmu secara menyeluruh walaupun ianya tidak terperinci. 

Mengajar Orang lain 

Bila hampir peperiksaan jangan lupa dan kedekut untuk mengajar rakan lain tentang apa yang kita tahu. Hal ini kerana kadar tempoh mengingat lebih tinggi jika ia diajarkan kepada orang lain. Mengajar orang lain memaksa otak bekerja lebih faham sesuatu kerana ingin menyesuaikan dengan kefahaman yang diajar sehingga meningkatkan lagi kefahaman melalui dimensi lain. Selain itu, mengajar rakan membuatkan rakan tersebut bertanya soalan yang mana mungkin kita sendiri tidak terfikir sebelum ini hinggakan kita turut sama mencari jawapan kepada persoalan yang timbul. 

Semak Jadual 

Jadual perlu disemak selalu kerana ia sangat penting. Sebelum menghadapi peperiksaaan belajarlah mengikut jadual peperiksaan sebenar kerana ia memberikan asimilasi situasi serta kebiasaan menggunakan minda pada tempoh-tempoh tertentu. Kadangkala mungkin anda tidak terbiasa menjawab matematik pada waktu petang, maka membiasakan diri mengikut jadual peperiksaan perlu untuk meningkatkan keupayaan otak menjawab. Ketika peperiksaan pula, ada baiknya jadual dibuat salinan dan sentiasa diperhatikan masa peperiksaan supaya kita tidak ketinggalan atau lewat menduduki peperiksaan. 

Bersedia Dengan Keperluan Peperiksaan

Anda tahu apa keperluan peperiksaan yang perlu dibawa? Jika tidak, segeralah bertanya kepada guru anda. Keperluan ini amat penting bagi membantu anda menjawab soalan nanti, perkara seperti alat tulis, geometri, mesin kira-kira perlu diibawa. Selain itu kelengkapan lain seperti kad pengenalan slip peperiksaan juga perlu diambil perhatian. 

Jauhi Dari Bercinta 

Ada kajian merumuskan sindrom bercinta ini akan muncul apabila semakin menghampiri peperiksaan. Untuk hari ini saya tak nak lah huraikan tentang kajian tersebut, mungkin lain kali kita akan bincangkan. Untuk kali ini penting untuk kita sedari bahawa jangan biarkan diri kita dipengaruhi oleh perasaan untuk bercinta semasa dekat peperiksaan. Hal ini kerana kajian mendapati perasaan ingin disayangi akan terbit apabila diri rasa risau berpanjangan, kesunyian akibat dari peperiksaan yang semakin hampir. Oleh kerana kerisauan berpanjangan tersebut menggalakkan pelajar untuk mencari pengubat diri dengan bercinta. Hakikat sebenar tindakan tersebut mengusik emosi seseorang sehinggakan emosi tersebut mengosongkan ingatan anda dan membuatkan anda cepat lupa dan berkhayal menjawab soalan ketika menghadapi peperiksaan nanti. 

Mohon Maaf 

Hampir peperiksaan cubalah menjadi orang yang baik, mohon maaf, buat baik dan restu dari Ibu bapa serta guru anda. Hal ini penting kerana perbuatan anda itu mungkin akan dibalas baik apabila anda sedang menghadapi peperiksaan nanti. Nampak tidak logik, tetapi ia ada kaitan dengan psikologi apabila kita banyak memaafkan orang, berbuat baik dengan orang lain terutama ibu bapa akan membuatkan kita rasa tenang hinggakan memberi ketenangan kepada otak supaya dapat menyusun dengan baik maklumat-maklumat yang disimpan. 

Jangan Terlalu Ketawa dan Berseronok 

Apabila hampir peperiksaan, hati-hati dengan perasaan seronok anda. Kalau boleh, ketawa dengan kuat serta berseronok melampau boleh menggalakkan pertukaran cecair kimia badan sehinggakan penyusunan maklumat dalam fikiran akan terganggu. Tetapi jika anda senyum dan gembira secara sederhana pula ia memberi kebaikan dengan merembeskan hormon yang memberi ketenangan. 

Jaga Pemakanan 

Makanan juga penting, anda mungkin tidak rela ulang ke tandas dan sudah tentu ia menggangu kosentrasi anda ketika menghadapi peperiksaan. Makanan yang baik menjelang peperiksaan ialah sayur berwarna putih seperti bunga kobis boleh meningkatkan daya ingatan serta kekacang. Anda boleh rujuk sini untuk khasiat sayuran.

Berdoa 

Akhir sekali dan penting ialah berdoa, berdoa penting kerana kita hidup didunia ini semuanya ditentukan oleh pencipta. Segala usaha serta apa yang kita alami semuanya adalah pemberian dariNya. 

Kredit: http://www.xpresi.org 

Tuesday, November 1, 2011

Selamat Hari Raya Aidil Adha


Warga SMK Bukit Rambai mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh muslimin dan muslimat.

IBADAH KORBAN

Apakah kelebihan melaksanakan ibadah korban?

Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim.


Selamat berhari raya. Kepada semua calon SPM, jangan lupa fokus anda terhadap peperiksaan!


Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru 2011

16 Mei merupakan hari yang dinantikan oleh semua warga pendidik. Hari mengenang jasa guru-guru yang gigih menabur bakti bagi melahirkan generasi yang cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual.


Sungguh besar jasa guru. Melalui mereka kita kenal A, B, C lalu mampu membaca dan memahami. Daripada merekalah kita kenal 1,2,3... dan akhirnya mampu menghitung hingga berjuta. Dari bilik darjah kita dididik dan disuluh dengan pelbagai ilmu. Berada di samping mereka, kita diasuh saban hari dengan akhlak dan budi pekerti.

Guru adalah pendorong yang sejati. Penunjuk jalan tatkala kita di persimpangan. Senyumannya umpama madu yang menjadi penawar segala gundah yang bermain di hati. Dialah pengganti ibu bapa yang mendidik dan mengasuh dengan tekun tatkala semua ibu bapa keluar berjihad mencari rezeki. Guru... tugasnya tidak pernah berhenti walaupun ketika orang lain sibuk bercuti... buat itu dan ini. Namun... dari segala pengorbanan dan jerih para guru, berapa ramai yang mampu mengerti dan menghargai?

Bagi yang masih menabur bakti, terima kasih yang tak terhingga ingin dikalungkan. Namun bagi yang telah pergi menemui Ilahi, sama-samalah kita bertahlil sedekahkan Al-Fatihah dan berdoa memohon keampunan bagi mereka dan semoga mereka ditempatkan dalam kalangan para hamba yang solihin. Amin! Ya Rabbal Alamin.

Selamat Hari Guru!

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

Friday, September 24, 2010

Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin Tahun 2010

Jumaat, 24 September - Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin untuk mendoakan calon-calon PMR dan SPM telah berjaya dilaksanakan. Majlis kali ini diadakan di Dataran BRASS. Dianggarkan sekitar 800 orang waris pelajar telah hadir. Majlis bermula tepat jam 6.50 petang. Walaupun terdapat rintik hujan, namun para ibu bapa dan guru-guru tidak berganjak dari tikar sejadah masing-masing sehinggalah majlis tamat. Ustaz Mohd Kamal bin Ahmad selaku imam Masjid Taman Bukit Rambai memimpin majlis pada malam tersebut. Majlis dimulakan dengan solat Maghrib, dan diikuti dengan solat Hajat serta bacaan surah Yasin. Seterusnya Ustaz Mohd Kamal mengimamkan solat Isyak. Selesai solat Isyak, para ibu bapa dan guru dibekalkan dengan nasi tomato yang dimasak sendiri oleh para guru SMK Bukit Rambai. Majlis tamat sekitar jam 9.00 malam. Sambutan pada tahun ini sangat menggalakkan. Warga SMKBR ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama kepada mereka yang telah memberikan sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun tenaga bagi menjayakan majlis pada kali ini. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala budi baik mereka. Didoakan semoga mereka dilimpahkan rezeki dan sentiasa diberkati.

Monday, September 6, 2010

Selamat Aidil Fitri

Kami warga SMK Bukit Rambai mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada seluruh muslimin dan muslimat khususnya para pelajar, guru, kakitangan dan komuniti di Bukit Rambai. Jadikan Syawal kali ini sesuatu yang bermakna dan menginsafkan kita. Bersamalah kita bermaaf-maafan dan eratkan silaturrahim.