Tuesday, December 10, 2013

Rancangan Buku Hijau Bagi Hadapi Kekurangan Bekalan Makanan

Oleh Syed Azwan Syed Ali 

 

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Peningkatan berterusan harga makanan di pasaran dunia mendorong kerajaan melancarkan program meningkatkan pengeluaran bekalan makanan dalam negara dan berikutan itu pakar-pakar pertanian dan ekonomi menyarankan Rancangan Buku Hijau dihidupkan kembali.

Semasa diperkenalkan lebih 30 tahun lalu, Buku Hijau ternyata berkesan dalam mengurangkan kadar inflasi menerusi peningkatan pendapatan rakyat menerusi penglibatan dalam bidang pertanian secara sambilan atau sepenuh masa.

Setelah negara berjaya menangani inflasi akibat kejatuhan harga getah dan krisis ekonomi pada awal 1970-an, rancangan Buku Hijau yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kedua (Allahyarham) Tun Abdul Razak Hussein pada Disember 1974, mula dilupakan.

Sebelum krisis semasa dunia melanda negara, kerajaan melaksanakan program Bumi Hijau sebagai satu daripada strategi di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan melibatkan peruntukan keseluruhan RM4 bilion, bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga makanan stabil.

Namun pakar-pakar berpendapat rancangan Buku Hijau atau terjemahan semangatnya seperti program Bumi Hijau perlu diteruskan dari semasa ke semasa, bukan hanya ketika krisis, kerana makanan adalah keperluan asas rakyat yang memerlukan jaminan.

"Buku Hijau dan Dasar Pertanian Negara sebenarnya saling melengkapi," kata pakar ekonomi Prof Dr Mansor Jusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada Bernama.

Dr Mansor berkata objektif pertama Dasar Pertanian Negara adalah meningkatkan sekuriti makanan dengan meningkatkan kualiti pengeluaran yang menumpukan kepada aspek komersial pertanian.

Rancangan Buku Hijau pula lebih kepada peningkatan penglibatan rakyat dalam pertanian dengan bercucuk tanam untuk kegunaan sendiri dan selebihnya dijual kepada umum.

Objektif utama Buku Hijau ialah memaksimumkan pembangunan tanah secara menyeluruh melibatkan tanaman jangka pendek, pekebunan berkelompok, ternakan ikan air tawar dan meningkatkan pemasaran produk pertanian selain bertujuan menambah pengeluaran makanan negara dan meningkatkan pendapatan rakyat bagi mengurangkan inflasi.

Melalui Buku Hijau, konsep "backyard farming" diperkenalkan dengan menanam cili dalam pasu, menanam pokok buah-buahan di halaman rumah dan penternakan secara domestik.

Dalam konteks itu, Dr Mansor berkata konsep "community farming" iaitu mengusahakan kawasan tanah terbiar di kawasan perumahan perlu dikembangkan kepada kawasan luar bandar dengan pengawasan agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian.

Katanya, konsep itu telah dilaksanakan dengan jayanya di beberapa negeri seperti projek "Ladang Rakyat" di Kelantan.

Beliau berkata tumpuan juga harus diberikan kepada golongan petani di desa dan di pinggir bandar, walaupun kerajaan menggalakkan konsep "kitchen farming" dengan bercucuk tanam atau menternak ayam atau ikan atau kombinasi kedua-duanya di halaman rumah perseorangan, di bawah program Bumi Hijau.

"Saya rasa kita kena kembali kepada konsep asal Buku Hijau yang juga bertujuan meningkatkan bekalan makanan negara dengan memberikan tumpuan kepada petani kecil di pinggir bandar. Pertanian bukan semua boleh buat tetapi profesion sepenuh masa," katanya.

Beliau berkata cabaran utama adalah untuk memasarkan hasil pertanian itu yang memerlukan kerjasama penuh daripada agensi terbabit seperti FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

"Kerajaan juga tidak boleh hadkan harga sayur-sayuran kerana ia boleh 'bunuh' petani. Contohnya bila pengeluaran kurang harga sayur tidak naik tetapi bila sayur terlebih keluar, harga tetap jatuh tetapi tiada pampasan kepada petani," katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed ketika mengumumkan mengenai Dasar Jaminan Bekalan Makanan Jumaat lepas berkata kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi mengedarkan biji benih sayur terpilih, baja serta manual kepada seluruh lapisan masyarakat pada tahun ini.

Pelaksanaan dasar itu selaras dengan kadar inflasi yang meningkat ekoran kenaikan harga barangan pengguna seperti beras dan lain-lain. Bank Negara Malaysia mengumumkan pada 30 April lepas bahawa inflasi seperti yang diukur oleh perubahan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sedikit kepada 2.8 peratus pada Mac tahun ini berbanding 2.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Prof Dr Mohd Ariff Hussein berkata amalan Buku Hijau di negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara Eropah bagi meningkatkan tahap mampu diri cukup konsisten.

"Mungkin kerana pengalaman mereka daripada kesan perang...Tetapi ianya program yang baik dan perlu diteruskan bukan hanya semasa krisis walaupun benar kenaikan inflasi adalah faktor pendorong," katanya.

Statistik 2005 menunjukkan tahap mampu diri keperluan negara bagi padi ialah 70 peratus, buah-buahan (98 peratus), sayur-sayuran (95.6 peratus), perikanan (90 peratus), daging lembu (23 peratus), daging kambing (7.1 peratus), babi (76 peratus), ayam (143.2 peratus) dan telur (152.3 peratus).

Beliau berkata selain "backyard farming" yang digunapakai satu ketika dulu, kaedah hidroponik (tanaman di air, tanpa tanah) sesuai dilaksanakan di kawasan bandar berbanding di kampung-kampung yang masih mempunyai tanah untuk diusahakan dalam skala besar.

"Mereka boleh tanam sayur berdaun seperti sawi melalui kaedah hidroponik ini di rumah mereka. Tanaman yang senang kena penyakit seperti terung bagaimanapun tidak sesuai kerana kos kewangan dan masa," katanya yang pernah menanam sayur menggunakan kaedah itu pada awal 1980-an.

Beliau juga mencadangkan supaya kaedah hidroponik, yang telah digunapakai secara meluas di flat-flat di Singapura, dicontohi secara meluas di sekolah-sekolah bagi mewujudkan "demonstration effect" kepada komuniti terbabit seperti guru-guru dan ibu bapa.

Dr Mohd Ariff berkata aspek logistik perlu diberikan penekanan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, antara lain, menempatkan agensi terbabit di rantaian pasaraya seperti Giant atau Tesco bagi memudahkan masyarakat mendapatkan nasihat teknikal, peralatan dan benih sayur terbabit.

Melalui Dasar Jaminan Bekalan Makanan, FAMA akan meningkatkan keupayaan pemasaran hasil-hasil pertanian melalui pembangunan pusat pengedaran, pusat pengumpulan serta peningkatan bilangan pasar tani sebanyak 50 di seluruh negara sebagai tambahan kepada 230 pasar tani sedia ada melibatkan peruntukan RM39 juta pada tahun ini.

Presiden FOMCA Datuk N.Marimuthu berkata kerajaan perlu mengembalikan pasar tani kepada model asalnya "daripada petani kepada pengguna" dan bukan seperti pasar malam yang menyaksikan produk selain pertanian dijual.

-- BERNAMA 


Sumber:
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=331002

1 comments: