Wednesday, April 6, 2011

Majlis Persaraan Tuan Pengetua

Melaka: Seluruh warga Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai pasti merindui suara dan wajah pengetua kesayangan apabila Encik Zainal bin Aman bersara wajib mulai 11 April 2011.


Majlis Rasmi Persaraan beliau telah berlangsung di Dewan Mini SMKBR. Majlis ini turut dihadiri oleh para pegawai daripada Jabatan Pelajaran Melaka, Pejabat Pelajaran Daerah, para pengetua dan guru besar sekitar Melaka. Majlis ini bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 12.00 tengah hari.

Acara dimulakan dengan kehadiran para tetamu jemputan mendaftar diri. Ini diikuti dengan ketibaan Encik Zainal bin Aman bersama isteri dan keluarga yang disambut dengan paluan kompang. Encik Zainal, para pegawai JPN Melaka, YDP dan NYDP PIBG SMK Bukit Rambai diiringi ke Dewan Mini SMKBR.

Kehadiran Encik Zainal dan VIP ke Dewan Mini disambut dengan tarian selamat datang oleh Kumpulan Tarian SMKBR.

Seterusnya nyanyian lagu Negaraku dan Melaka Maju dinyanyikan oleh para hadirin. Majlis dimulai dengan ucapan oleh GPK 1, Ph. Hjh. Hamidah binti Sabtu, YDP PIBG TAn. Hj. Rahim bin Haron dan ucapan oleh wakil Pengarah Pelajaran Melaka.

Acara seterusnya disusuli dengan persembahan multimedia 'Semerbak Kasih Seharum Budi' yang mengimbas kembali nostalgia Encik Zainal bin Aman bermula dari zaman kanak-kanak sehinggalah menjadi Pengetua SMKBR.

Selesai persembahan multimedia, insan yang diraikan, Encik Zainal bin Aman, telah dijemput untuk menyampaikan ucapan sempena persaraan beliau. Ucapannya padat dan penuh dengan motivasi serta nasihat khususnya buat semua warga pendidik.

Majlis kemuncak adalah penyampaian hadiah daripada pegawai JPN Melaka, para pengetua dan para guru Besar serta orang perseorangan kepada Encik Zainal.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari kepada para tetamu yang hadir.

Seluruh warga SMK Bukit Rambai mengucapkan Selamat Bersara buat Tuan Pengetua yang disayangi




0 comments:

Post a Comment