Wednesday, October 24, 2012

Selamat Hari Raya Aidil Adha


Bagi pihak sekolah, kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha. Hayati ibadah korban dengan penuh kesyukuran.

Pengertian Aidiladha

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Pengertian Korban

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidil Adha pada 10 Zulhijjah sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Erti Pengorbanan Melalui Ibadah Korban 


Walaupun belum diizinkan oleh Allah untuk ke Tanah Suci, Aidiladha masih dapat dihayati melalui tuntutan melaksanakan ibadah korban sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail A.S.  Ianya merupakan satu ibadah sunnah yang dituntut dalam Islam.

Harus diperhatikan bahawa antara hikmah dan nilai-nilai yang terkandung dalam ibadah korban ialah latihan dan pembentukan mentaliti umat Islam agar sentiasa bersedia mengorbankan sebahagian rezeki kurniaan Allah demi kepentingan orang lain.

Pengorbanan merupakan satu aspek yang luas dan saling berbeza mengikut konteks masing-masing. Sebagai contoh, dalam konteks sebagai seorang pelajar, mengorbankan sebahagian waktu dalam usia mudanya ke arah pembentukan jiwa dan akhlak yang baik merupakan satu aspek pengorbanan yang cukup bernilai. 


Dengan memiliki kekuatan jiwa yang mantap dan sahsiah yang cemerlang seawal usia muda, ianya dapat membantu kearah pembentukan masyarakat Muslim yang gemilang bagi generasi yang akan datang.

Ibadah Korban Membentuk Jiwa Muslim

Seterusnya pensyariatan untuk melakukan sembelihan ke atas haiwan merupakan satu simbolik kepada pembentukan jiwa seseorang. Sebagaimana haiwan itu tunduk dan disembelih, begitulah ibaratnya nafsu yang ada pada diri kita harus ditundukkan dan ditewaskan. 


Bagi golongan belia khususnya, dengan semangat darah pemuda yang lahir di dalam jiwanya, dan gelojak nafsu syahwat yang membuak-membuak, pasti ianya menuntut agar adanya kawalan untuk membendung diri dari menuruti kehendak syahwat tersebut. Ianya harus diseimbangkan dengan pengabdian kepada Ilahi dan tunjuk ajar yang berterusan dari golongan pendidik supaya semangat dan kehendak yang tinggi itu dapat disalurkan ke arah jalan yang diredhai Allah.

Marilah kita bersama meraikan Aidil Adha pada tahun ini dengan penuh penghayatan dan keinsafan, bukan sekadar sebagai suatu adat dan atau kebiasaan. Semoga kita mampu menyediakan seluruh jiwa raga kita untuk kebaikan ummah dan meruntun redha Ilahi, demi bekalan di hari kemudian.


 

0 comments:

Post a Comment