Mesyuarat Agung PIBG 2021

Hotel Pantai Puteri

Sambutan Hari Guru 2021

Medium Google Meet

Pusat Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus M17

Lawatan Timb. Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh KPM

Wednesday, November 10, 2010

STANDARD GURU MALAYSIA 2010 (SGM)

Salam sejahtera,

Semua guru diminta mengisi maklumat dalam fail Standard Guru Malaysia (SGM) 2010. Fail ini adalah dalam bentuk format fail Excel.

Sila namakan semula (rename) fail tersebut kepada nama guru mengikut contoh di bawah:

sgm_namaguru.xls tukarkan kepada sgm_zakri.xls

Guru-guru boleh memuat-turun fail Standard Guru Malaysia 2010 di pautan di bawah:

Klik sini >> Download Fail SGM

Sebarang pertanyaan, sila hubungi Cikgu Nor Ain atau emelkan kepada ainsmkbr@gmail.com

Tarikh tutup: 16 November 2010

Saturday, October 23, 2010

Kursus Peningkatan Staf 2010

Kursus: Kursus Peningkatan Staf Ke-5
Tarikh: 22 Oktober 2010 (Sabtu)
Tempat: Dewan Mini SMKBR
Masa: 8.00 - 12.30 tengah hari

Objektif Kursus

1. Memberi pendedahan tentang kepentingan emel dan blog dalam sektor pendidikan
2. Memberi pendedahan asas tentang aspek pembangunan blog yang bermutu
3. Mendedahkan cara penggunaan emel dan blog sebagai alat teknologi terkini dalam P&P
4. Meningkatkan kefahaman tentang cara pengurusan emel dan blog dengan sistematik dan berkesan.

Perjalanan Kursus

Kursus LDP5 telah berlangsung di SMK Bukit Rambai pada 22 Oktober 2010. Kursus LDP5 yang bertempat di Dewan Mini SMKBR bermula tepat pukul 8.00 pagi.

Para peserta telah diminta membawa komputer riba masing-masing bagi memudahkan sesi 'hands on' dapat dijalankan. Dua topik disampaikan iaitu Pengurusan Emel dan Pembinaan Blog oleh Cikgu Zakri Zakaria. Bahan edaran turut dibekalkan bagi memudahkan peserta mengikuti sesi 'hands on'.

Sesi Pengurusan Emel dimulakan dengan pendedahan tentang kepentingan emel, cara mencipta emel dan membuat 'setting' atau penetapan serta cara-cara penggunaan emel secara efektif.

Manakala dalam sesi Pembinaan Blog, para peserta ditunjukkan tentang cara-cara mencipta blog dalam Blogger.com. Para peserta didedahkan tentang fitur-fitur yang terdapat di dalamnya dan cara-cara mencipta sebuah blog yang bermutu.


Di akhir kursus, para peserta diminta menghasilkan akaun emel dan blog untuk panitia masing-masing. Kursus ini berjalan lancar walaupun talian internet (schoolnet) sangat perlahan.

Perhatian:
Kepada semua peserta kursus, sila klik di sini untuk menjawab soal selidik dan menerima ebook Pengurusan Email. Ebook ini akan dihantar ke emel masing-masing.

Friday, September 24, 2010

Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin Tahun 2010

Jumaat, 24 September - Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin untuk mendoakan calon-calon PMR dan SPM telah berjaya dilaksanakan. Majlis kali ini diadakan di Dataran BRASS. Dianggarkan sekitar 800 orang waris pelajar telah hadir. Majlis bermula tepat jam 6.50 petang. Walaupun terdapat rintik hujan, namun para ibu bapa dan guru-guru tidak berganjak dari tikar sejadah masing-masing sehinggalah majlis tamat. Ustaz Mohd Kamal bin Ahmad selaku imam Masjid Taman Bukit Rambai memimpin majlis pada malam tersebut. Majlis dimulakan dengan solat Maghrib, dan diikuti dengan solat Hajat serta bacaan surah Yasin. Seterusnya Ustaz Mohd Kamal mengimamkan solat Isyak. Selesai solat Isyak, para ibu bapa dan guru dibekalkan dengan nasi tomato yang dimasak sendiri oleh para guru SMK Bukit Rambai. Majlis tamat sekitar jam 9.00 malam. Sambutan pada tahun ini sangat menggalakkan. Warga SMKBR ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama kepada mereka yang telah memberikan sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun tenaga bagi menjayakan majlis pada kali ini. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala budi baik mereka. Didoakan semoga mereka dilimpahkan rezeki dan sentiasa diberkati.

Tuesday, September 14, 2010

Peperiksaan Percubaan SPM 2010

Rabu, 15 September - Peperiksaan Percubaan SPM bermula hari ini serentak di seluruh negeri Melaka. Pada tahun ini, seramai 315 orang calon di SMK Bukit Rambai terlibat dalam peperiksaan ini. Selamat menjawab soalan dan para guru mendoakan agar semua calon beroleh ketenangan fikiran dan mampu menjawab dengan tepat.

Friday, September 10, 2010

7 Tips Untuk Cemerlang dan Persediaan Menghadapi Peperiksaan



Terdapat beberapa tip sebagai persediaan menghadapi peperiksaan yang bakal dihadapi nanti. Tip ini di ambil dari akbar berita harian untuk pekongsian kita bersama. Antaranya ialah :

1. Semak jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.

Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. Kunci peperiksaanApakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.

Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.


3. Tentukan keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.

Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.


4. Banyak mengingat dan membuat kaitanMengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.

Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.


5. Merancang persiapan peperiksaanAda tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.

Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.

Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.

Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.

Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.

Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.

Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel. Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.

Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.

c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.

Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.


6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaanMenjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.


7. Berdoa dan bertawakal
Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.
Jadi, bagaimana persediaan anda sekarang ? Adakah anda sudah benar-benar bersedia ??

Monday, September 6, 2010

Selamat Aidil Fitri

Kami warga SMK Bukit Rambai mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada seluruh muslimin dan muslimat khususnya para pelajar, guru, kakitangan dan komuniti di Bukit Rambai. Jadikan Syawal kali ini sesuatu yang bermakna dan menginsafkan kita. Bersamalah kita bermaaf-maafan dan eratkan silaturrahim.

Saturday, September 4, 2010

Kewajipan Membayar Zakat

RUKUN YANG LIMA

Zakat merupakan satu daripada rukun Islam yang lima. Terdapat beberapa dalil dalam Al-Quran yang menegaskan tentang kewajipan berzakat. Antaranya ialah:

"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui." - Surah At-Taubah (ayat 103)

"Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat". Surah An-Nur (ayat 56)

"Dan (ingatlah wahai Muhammad), Ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan ALLAH, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya." Surah Al-Baqarah (ayat 83)

Dari ayat-ayat di atas, amat jelas tentang kewajipan berzakat dan sesiapa yang mengingkari atau meragui kefarduannya, maka ianya terkeluar dari agama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa Khalifah Abu Bakar telah memerangi orang-orang yang mengingkari membayar zakat. Mereka yang kaya dan berada juga harus menyedari bahawa wujudnya hak orang-orang fakir dan miskin di dalam harta yang mereka miliki.


PENGERTIAN ZAKAT

DARI SEGI BAHASA


Zakat dari segi bahasa bererti "BERSIH", "SUCI", "SUBUR", "BERKAT" dan "BERKEMBANG"
Pengertian "BERSIH" dan "SUCI" dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil. Dalam erti yang lain ialah membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya.


DARI SEGI SYARAK

Zakat dari segi syarak pula ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.


HIKMAH DISYARIATKAN ZAKAT

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang kelima. Antara hikmah dan tujuan ALLAH SWT mensyariatkan zakat ialah:

1. Mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada.

2. Membersihkan diri pembayar zakat.

3. Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.

4. Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT di kalangan golongan yang berada.

5. Mengurangkan perasaan iri hati di kalangan yang kurang bernasib baik.

6. Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan ALLAH SWT di samping perhubungan antara manusia dengan manusia.

7. Memberi peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan zakat daripada harta mereka.

8. Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat Islam dalam urusan ekonomi dan kewangan.

9. Memberi masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredhai oleh ALLAH SWT.

10. Melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat.


SIAPA YANG WAJIB?

Setiap individu yang ingin membayar zakat harus di ambil kira syarat wajib zakat yang perlu difahami dan dipenuhi sebelum membuat taksiran. Syarat-syarat tersebut ialah:

1. ISLAM
Zakat hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja.

2. MERDEKA
Syarat ini tetap dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib.

3. SEMPURNA MILIK
Harta yang hendak dizakat hendaklah dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh orang Islam yang merdeka. Bagi harta yang berkongsi antara orang Islam dengan orang bukan Islam, hanya bahagian orang Islam sahaja yang diambil kira di dalam pengiraan zakat.

4. HASIL USAHA YANG BAIK SEBAGAI SUMBER ZAKAT
Para Fuqaha' merangkumi semua pendapatan dan penggajian sebagai "Mal Mustafad" iaitu perolehan baru yang termasuk dalam taksiran sumber harta yang dikenakan zakat.

5. CUKUP NISAB
Nisab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan atau tidak. Nisab menggunakan nilai emas harga semasa iaitu 20 misqal emas bersamaan 85 gram emas atau 196 gram perak.


6. CUKUP HAUL
Bermaksud genap setahun iaitu selama 354 hari mengikut tahun Hijrah atau 365 hari mengikut tahun Masihi. Dalam zakat pendapatan, jangkamasa setahun merupakan jangkamasa mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatan.


APAKAH HARTA YANG DIWAJIBKAN ZAKAT?

Ada 2 jenis zakat iaitu:

a) Zakat Fitrah
Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan
syarat-syarat yang ditetapkan.

b) Zakat Harta
Jenis-jenis harta yang dikenakan zakat adalah seperti berikut:

1. Zakat Pendapatan
2. Zakat Perniagaan
3. Zakat Binatang Ternakan
4. Zakat Pertanian
5. Zakat Wang Simpanan
6. Zakat Emas dan Perak
7. Zakat Saham
8. Zakat Ma'adin, Kunuz dan Rikaz *

***
Ma'adin
Ialah segala galian yang diperolehi dari perut bumi sama ada beku atau cair di darat atau di laut.

Kunuz
Ialah harta yang tersimpan di dalam bumi (harta karun).

Rikaz
Ialah harta benda yang tersimpan di dalam bumi dan terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ia tersimpan sebelum kedatangan Islam. (Jumhur ulama mengatakan semua jenis simpanan jahiliah)


SIAPA YANG LAYAK MENERIMA ZAKAT?

Zakat akan diagihkan kepada beberapa asnaf. Asnaf-asnaf tersebut ialah:

1. ASNAF FAKIR
Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya untuk memenuhi keperluan dirinya dan tanggungannya termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain.

2. ASNAF MISKIN
Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta dan hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya tetapi masih tidak mencukupi untuk menanggung keperluan dirinya dan tanggungannya.

3. ASNAF AMIL
Orang yang dilantik / ditauliahkan oleh Sultan atau Naibnya untuk penyelenggaraan hal-hal zakat.

4. ASNAF MUALLAF
Orang yang baru memeluk Islam iaitu "orang yang dijinakkan hatinya" dengan diberi bantuan supaya mereka teguh mencintai Islam.

5. ASNAF RIQAB
Iaitu hamba mukatab yang ingin memerdekakan dirinya.

6. ASNAF GHARIMIN
Orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi permasalahan diri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan memerlukan:
a) Orang yang berhutang itu tidak mampu menjelaskan hutangnya.
b) Hutang itu hendaklah dalam perkara taat yang diharuskan syarak.
c) Hutang telah sampai tempoh untuk dijelaskan.

7. ASNAF FISABILILLAH
Fisabililah ialah tiap-tiap perbuatan / perkara yang menjurus kepada keperluan dan masalah untuk menegakkan syiar Islam.

8. ASNAF IBNI SABIL
Orang Islam yang kehabisan perbelanjaan dalam perjalanan atau orang yang hendak memulakan perjalanan sedangkan ia tidak mempunyai belanja dengan syarat:
a) Ia mengembara dari negeri tempat tinggalnya.
b) Pengembaraan diharuskan oleh syarak.

Monday, August 16, 2010

Peperiksaan Percubaan PMR 2010


Seramai 395 calon PMR di SMK Bukit Rambai menduduki peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah. Peperiksaan yang bermula dari 16 Ogos 2010 bakal berakhir pada 20 Ogos 2010. Seluruh Warga SMK Bukit Rambai mendoakan semoga para pelajar dapat menjawab dengan tepat dan mendapat keputusan yang cemerlang. Selamat menjawab dan selamat maju jaya. Kita pasti juara!

Thursday, August 5, 2010

Hari Kokurikulum 2010

Tarikh: 4 Ogos 2010

Hari Kokurikulum 2010 telah diadakan bagi mencungkil bakat dan keterampilan para pelajar dalam bidang organisasi. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YDP PIBG, Tuan Haji Rahim bin Harun.


Sebanyak 16 buah gerai jualan dibuka yang menawarkan pelbagai barangan, makanan dan minuman. Selain itu, program ini turut mendapat kerjasama dari IPTS seperti Universiti MSU, Universiti Troy, Kolej Stanford, Kolej RISDA, Kolej Islam Melaka, Institut Denspark. Selain itu, pihak University MSU juga turut mengadakan demostrasi masakan, ujian darah dan sesi penerangan tentang peluang yang ditawarkan oleh universiti tersebut. Pihak Bomba dan Penyelamat dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan turut serta mengadakan pameran masing-masing. Sambutan sungguh menggalakkan. Program ini berakhir sekitar 2.30 petang.

Thursday, July 29, 2010

Latihan Pengungsian Bangunan 2010


Tarikh: 28 Julai 2010

Latihan pengungsian bangunan telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu. Latihan ini sangat penting bagi meningkatkan tahap kecekapan warga SMK Bukit Rambai dalam menghadapi suasana kecemasan atau kebakaran yang mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa.


Sesi latihan dikendalikan dalam dua sesi iaitu sesi pagi yang bermula pada pukul 10.30 pagi manakala sesi petang pada pukul 3.30 petang. Latihan pada kali ini berjaya mencapai objektif seperti yang ditetapkan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP).

Monday, July 26, 2010

Perkhemahan Badan Beruniform 2010

Perkhemahan badan-badan beruniform SMK Bukit Rambai telah diadakan di Hutan Rekreasi Ayer Keroh baru-baru ini. Perkhemahan yang bermula pada 23 Julai 2010 berakhir pada 25 Julai 2010. Seramai 275 orang pelajar terlibat dalam aktiviti perkhemahan kali ini. Di samping itu, semua guru telah memberikan komitmen yang tinggi dan bertugas mengikut jadual yang ditetapkan.
Para pelajar bergerak ke tapak perkhemahan dengan menaiki bas yang disediakan oleh pihak sekolah bermula pada jam 3.00 petang. Para pelajar diberi taklimat ringkas oleh jurulatih program tersebut dan seterusnya mereka diminta mendirikan khemah mengikut unit masing-masing. Pada sebelah malamnya diadakan ceramah motivasi. Walaupun keletihan, namun semua pelajar tetap bersemangat.
Pada pagi 24 Julai 2010, semua guru terlibat dalam Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang diadakan di tapak perkhemahan tersebut. Antara pengisian aktiviti LDP ialah senamrobik dan ceramah tentang kecergasan yang dikendalikan oleh En. Abdul Latip bin Abdul Karim. Selepas itu, guru-guru terlibat dalam aktiviti berkayak di Tasik Ayer Keroh.
Sementara itu para pelajar pula mengikuti aktiviti wall climbing dan berkayak. Manakala pada sebelah petangnya, para pelajar terlibat dalam aktiviti explorace di Zoo Melaka. Pada sebelah malam pula diadakan Malam Kebudayaan and barbeku. Sungguh meriah dan menarik.
Hari Ahad, 25 Julai 2010, para pelajar mengikuti aktiviti lasak iaitu lari berhalangan (obstacle run). Aktiviti ini sememangnya penting bagi membina ketahanan mental dan fizikal para pelajar. Keseluruhannya para pelajar sangat gembira mengikuti aktiviti perkhemahan pada kali ini.
Upacara perasmian penutup disempurnakan oleh PPD Melaka Tengah.
Sesungguhnya aktiviti perkhemahan pada kali ini benar-benar dapat menyemai semangat kerjasama dan setia kawan dalam kalangan para pelajar. Begitu juga dengan para guru yang bertungkus-lumus menjayakan aktiviti tersebut. Sekalung tahniah dan syabas diucapkan!